Medan Muhasabah

Julai hampir melabuhkan tirainya. Waktu-waktu begini, telah masuknya musim bagi medan muhasabah buat seluruh keluarga besar jemaah WAP ini tidak kira diperingkat cawangan, negeri, mahupun kebangsaan.

Satu tahun telah berlalu dengan amanah yang dianugerahkan buat insan-insan yang terpilih. Entah berapa kolam titisan keringat, entah berapa gantang masa yang dikorbankan, entah berapa ribu wang yang dihabiskan, perahan buah fikiran yang menggunung, juga hati yang dibahagiakan dan disakiti.
Pahit manis yang dilalui mengeluarkan insan daripada zon keamanan dan keselesaan. Ujian yang seringkali hadir, menguji kekuatan hubungan dan jiwa, sama ada sesama insan mahupun dengan Tuhannya.

Adakalanya terzalimi insan sekitar dengan amanah yang digalas, adakalanya amarah dilepaskan. dan adakalanya bahagia dikongsikan. Kini tiba pada musimnya, musim untuk bermuhasabah akan amanah yang digalas.

Bersungguhkah dalam melaksanakan amanah?
Terlaksanakah amanah ini dengan baik?
Apakah kesan daripada segala amanah yang telah dijalankan?
Baikkah hubungan dengan ahli masing-masing?
Bagaimana pula hubungan sesama pemegang amanah?
Baikkah hubungan setiap pemegang amanah dengan masyarakat?
Hubungan bersama Allah pula?

Banyak persoalan yang perlu ditanyakan kembali kepada diri masing-masing. Bermuhasabah atas segala gerak kerja. Risau apa yang telah dilaksanakan ini akhirnya sia-sia.

Satu perkara yang suka untuk dipesankan supaya masing-masing sedar hakikat segala gerak kerja ini dilaksanakan. Berselawatlah ke atas junjungan besar nabi Muhammad dengan kerap. Segala gerak kerja ini adalah kelangsungan perjuangan dan dakwah yang disampaikan oleh baginda.

"Ya Rasulullah, beberapa hari yang lepas, saya mendengarkan lagu bertajuk Pemergianmu yang dinyanyikan oleh In-Team. Saya menangis tatkala selesai menyanyikan dan menghayati liriknya. Saya sedang lakukan apa yang engkau lakukan, yang di 'claim' sebagai dakwah, tapi jiwa dan amalan harian ini tidak sehebat engkau ya Rasul. Tiap kali lemah, manja. Amalan-amalan juga amatlah jauh dengan amalan Mu dan para sahabat ya Rasul. Kami umat akhir zaman, yang terlalu banyak mehnahnya di saat engkau tiada lagi di sisi kami. Doakan agar kami diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dakwah ini dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang sentiasa bersemangat seperti mana dirimu ya Rasul. Moga kami semua mendapat syafaat Mu di akhirat kelak"

Suara hati membisik rindu. Mengadu apa yang terpendam. Jiwa ini tidak sentiasa kuat. Tetapi moga kuat dengan keyakinan.

Akhir sekali, suka untuk dikongsikan hafaz hamdallah yang telah dikongsikan oleh mentor saya di dalam team Sahabat Ulul Albab iaitu Kak Hajar,


Setiap kali diberikan peluang untuk melakukan kebaikan, jangan dilupakan untuk mengucapkan lafaz ini. Tanda kita bersyukur dengan peluang yang diberikan kerana tidak semua orang beriman itu berpeluang seperti mana kita.

Saya tutup dengan ucapan assalamualaikum. Moga Allah memberkati dan merahmati segala usaha kita di dunia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

al-iman yazid wa yanqus

Kem Remaja HaKhaDa (Kg Permata)