Tak Tahu Nak Letak Tittle Apa
Kehidupan ini sentiasa ada ujian yang turut ikut bersama sepanjangnya.
Hari ini saya semakin sedar, bahawa kehilangan orang dalam kehidupan adalah perkara biasa. Sama ada kematian menjadi penyebabnya, atau perkara lain. Terputus hubungan, terputus komunikasi.
Namun, saya juga sedar, setiap hari merupakan hari untuk kita memulakan hubungan dan komunikasi. Proses yang tak akan tamat selagi mana kita mahu ianya berjalan. Kalau hari ini saya terputus hubungan dengan seseorang yang sebelum ini dianggap kakak, tapi hari ini juga saya boleh memulakan hubungan dengan seseorang yang boleh dijadikan kakak. Saya tak kurang kasih sayang daripada keluarga, malah boleh dikatakan saya hidup dengan penuh kasih sayang. Tetapi, saya seorang yang suka menyayangi berbanding membenci. Setiap mereka yang hadir dalam hidup ini saya sayangi dengan penuh rasa ikhlas. Tak pernah pula terfikir untuk memalsukan rasa sayang. Tetapi bukan semua manusia seperti saya apabila mencipta hubungan.
Hari ini, dan dewasa ini semakin mendesak saya untuk segera belajar, mengambi pengajaran, dan solusi. Dewasa ini mendesak saya untuk kurangkan berfikir hal-hal yang selama ini saya fikirkan secara berat, tetapi kini tidak lagi. Khususnya hal-hal berkaitan perhubungan.
Tawar sahaja hati, maka akan tawarlah segala yang berkaitan tentang seseorang. Sudah tidak lagi difikirkan secara berat dan mendalam. Sudah tidak lagi dirasai dengan begitu mendalam. Segalanya tawar tentang hal kehidupannya. Saya percaya, disetiap hubungan yang terputus itu pastinya akan ada sekurangnya satu kerugian. Pasti akan ada. Bukankah menjalin hubungan silaturrahim itu membawa berjuta kebaikan? Ya. Tetapi kita hanya manusia. Ada hati yang perlu diuruskan dengan baik supaya anggota lain tidak terpalit. Maka berbuatlah sesuatu supaya hati dalam keadaan baik, meski terpaksa mengorbankan hal-hal lain dan menanggung kerugian.
Secara tak langsung, saya berlapang dada dengan segala tindak-tanduk manusia sekeliling. Ada yang cuba menjauhkan diri, ada yang cuba tidak mahu berkomunikasi, ada yang menyorokkan status atau story, ada yang 'block" dan sebagainya. Saya berlapang dada dengan menghormati hak orang lain dan cuba memahaminya.
Entah, mungkin saya terlalu merendahkan diri dalam banyak perkara. Saya hanya ada pilihan untuk cuba memahami, meski nanti saya yang akan mengalirkan air mata dalam merasai segala situasi yang sedang berlaku.
Ulasan
Catat Ulasan