Pimpinan Baharu Hati Baharu

 

Hadir lagi insan-insan baharu di dalam hidup saya yang pastinya memerlukan komitmen untuk diberikan. Saban tahun di jalan perjuangan PEPIAS ini, sudah merasakan hal sebegini sebagai perkara biasa apabila cukup haul. Berkali-kali hati merelakan pemergian dan menerima kehadiran insan yang sudah semestinya memberi kesan di hati setiap satunya. Namun, begitulah suratan takdir yang Allah tetapkan di jalan perjuangan ini. Sentiasa percaya bahawa Allah akan sentiasa bersama, dan tidak sedikit pun pergi meninggalkan hamba-Nya yang sedang berjuang. Berjuang dan berkhidmat dengan ikhlas.

 

Berkali-kali saya mempersoal diri sendiri, “Betulkah kau sedang berjuang? Betulkah kau sedang berdakwah? Atau sekadar melakukan apa yang sudah terbiasa dilakukan saban tahun? Ikhlaskah buat semua ni?” Soalan yang seringkali muncul tatkala ingin mengundur diri dari medan ini dan mengutamakan diri sendiri dalam setiap urusan. Dan kemudian tertanya lagi, “Kalau betul berjuang, kenapa mudah mengalah? Mana yang dikatakan berjuang? Semudah inikah berdakwah?” Jatuh lagi air mata yang cuba diseka. Situasi yang penuh konflik dengan diri sendiri.

 

Begitulah hakikat kehidupan. Apa yang saya pasti, Allah SWT sendiri berfirman di dalam Kitab-Nya:

Dan janganlah kamu (berasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman” (Ali-Imran:39)

 

"Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar:53)

 

Dua ayat ini seringkali menjadi penguat buat diri saya sepanjang perjuangan ini. Mengharapkan diri sendiri mampu bangkit semula dan meneruskan kerja-kerja perjuangan dakwah. Terkadang rasa sunyi, terkadang rasa keseorangan, terkadang rasa tidak layak, tapi masih meneruskan walau sekecil usaha yang termampu. Meski kesannya tidak besar kepada masyarakat, tapi setidaknya ada usaha yang diletakkan agar tidak dipersoal di akhirat nanti.

 

Teringat kata-kata seorang senior, “Kalau kita tak dapat nak ubah masyarakat kelompok yang besar, setidaknya dengan buat program ini kita dapat mengubah hidup seorang adik”. Ayat yang mudah difahami. Sebab itu setiap kali berprogram, semua perkara ditekankan termasuklah sekecil-kecil cara menggelarkan diri sebagai seorang fasilitator dengan menggunakan “kakak dan abang”. Orang sekeliling mungkin tidak memahami apa yang saya dan rakan-rakan buat di PEPIAS, tapi saya yakin, usaha ini tidak mungkin menjadi sia-sia selagi mana ikhlas sentiasa menyertai.

 

Dengan berakhirnya induksi PEPIAS Pusat sesi 2022/2023, maka bermulalah perjalanan baharu saya. Banyak perkara yang perlu diteliti dan disusun serta digerakkan dengan penuh kesungguhan. Didoakan seluruh pimpinan Pusat dan cawangan sentiasa diberikan kekuatan dan kesabaran dan memimpin dan membimbing generasi PEPIAS yang seterusnya. Doakan kami agar sentiasa mengikhlaskan hati, membulatkan tekad, dan teruskan berkhidmat. Moga Allah meredhai kita semua. Sampai berjumpa lagi di Syurga yang abadi 😊.

 

 


Hai jiwa yang tenang.

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. (Al-Fajr:27-28)

 

-Dhiyaulhaq-

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

al-iman yazid wa yanqus

Kem Remaja HaKhaDa (Kg Permata)