Wrap Up 2020
Hari ni 31 Disember 2020. Penutup tahun 2020, bersamaan hari ulang tahun kelahiran ke 22 saya, ehe. Well, disambut dengan bertemu seseorang yang dah lama tak dijumpai.
Jadinya, sedikit penulisan lah kot sebagai penutup tirai 2020 ni. 2020 yang penuh dengan onak duri juga jalan kesenangan melalui kehidupan yang serba lengkap sebagai seorang anak, mahasiswa dan insan di dunia.
Dimulakan dengan POA PMGKS sebanyak 6 kawasan. Satu pencapaian yang membanggakan buat PEPIAS Kuala Selangor atas penganjuran PMGKS serta POA yang melengkapi. Ruang kaderisasi besar yang kini menjadi pelapis ahli PEPIAS Kuala Selangor dengan perlahan-lahan meningkatkan kualiti setiap mereka. Diteruskan dengan menjadi peserta PMG Selangor 2020 dan menjalankan POA masing-masing dengan melaksanakan IMARAM (Imarah Ramadhan) semasa bulan Ramadhan meski Malaysia masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebagai Naib Pengerusi Perhubungan PEPIKUS, saya seronok melihat usaha-usaha ini digerakkan meski saya tidaklah banyak membantu sebaliknya menggunakan kekuatan beberapa orang pimpinan untuk memimpin adik-adik ini secara langsung. Saya berpuas hati dapat membuka ruang untuk adik-adik ini mengembangkan dan membentuk potensi diri mereka.
Bayangan Januari yang pastinya akan lebih seronok apabila berpeluang untuk menjadi fasilitator PMG negeri Kelantan (berkhidmat sambil berjalan-jalan), namun bayangan itu tinggal bayangan dan menyedari akan hakikat takdir yang sentiasa menjadi seperti yang Allah tetapkan, bukan menjadi seperti apa yang kita rancangkan. Penetapan yang sedikit indah apabila direzekikan untuk menjadi fasilitator PMG Selangor buat pertama kalinya meski disaat akhir ketika program bakal dilaksanakan lagi 2 minggu. Melihat kerja keras yang digerakkan oleh tim PMGS semasa itu lebih-lebih lagi dalam pencarian fasilitator, membuatkan saya rasa perlu untuk berkhidmat buat PEPIAS yang dah lama bertakhta dalam hati. Haha. Ya, di sini tempat saya belajar pelbagai perkara, juga di sinilah juga tempat untuk kembali berkhidmat.
Sebelum datangnya PKP, tim PEPIKUS berkesempatan untuk melaksanakan program di sekolah (SMKA KS) dan juga masjid Batu Arang. Program fizikal yang amat dirindui oleh ahli-ahli PEPIAS waktu ini. Program fizikal ini memenatkan, tetapi menjadi kepuasan besar apabila dapat bersemuka apabila menerangkan Modul dan menegur kekurangan apabila fasi melakukan beberapa perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, dan ia sebagai penambahbaikkan buat mereka. Program Batu Arang ini direzekikan untuk berjumpa dengan Arif (Anak cikgu Rozita) sebagai Fasi. Seronok apabila orang kampung sendiri menjadi fasi program PEPIAS.
PKP yang hadir bersama seribu kepayahan juga hadir bersama sejuta hikmah. Menjalani rutin harian di rumah sendiri bersama keluarga tercinta selama lebih kurang 3 bulan, memberikan kesan yang besar buat tautan hati-hati kami. Solat berjemaah setiap waktu, makan berjemaah, menjalani aktiviti di rumah bersama-sama, juga aktiviti di kebun bersama, menambah tahap kefahaman setiap ahli keluarga. Tidak lupa juga menjalani kelas secara dalam talian di rumah yang menjadi cabaran besar untuk saya. Rumah itu menjadi tempat untuk berbahagia, bersenang-lenang, berhenti daripada memikirkan hal-hal sekolah atau universiti sejak tingkatan 1 lagi, mana mungkin dapat memberikan tumpuan sepenuhnya apabila terpaksa menjalani kelas dalam talian. Apapun, segala yang susah itu, pasti boleh dihadapi di saat kita sendiri yang meletakkan tekad dan azam untuk menerima dan menghadapinya. Alasan demi alasan tidak sedikit pun mampu membantu melalui proses yang sukar ini. Saya berjaya menghadapi satu semester di rumah, dan semester seterusnya dihadapi di rumah sewa tatkala diumumkan PKPB.
Ogos 2020, bulan kelahiran saya. Berasa istimewa kepada insan-insan yang memberikan ucapan serta kata-kata semangat untuk terus menjadi insan yang baik dan berbakti. Sempat membelanja kakak kesayangan secawan Tealive pada hari kejadian serta membelanja diri sendiri puding bertulisan dan dimakan oleh ahli keluarga. Seronok apabila dapat memberi pada hari yang istimewa tersebut. Bulan yang sama, saya telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Pengerusi Perhubungan PEPIKUS kerana merasakan sudah tiba masanya untuk saya memberikan ruang dan peluang kepada orang lain. Inilah waktunya untuk melihat potensi dan kemampuan orang lain pula. Sejurus turun daripada tampok kepimpinan PEPIKUS, September 2020 menjadi saksi saya ditaklifkan sebagai Penolong Setiausaha Agung PEPIAS bagi sesi 2020/2021. Satu tanggungjawab besar untuk digalas, namun diterima sebagai tanda masih ingin berkhidmat buat PEPIAS yang disayangi. Melalui setiap bulan dengan penuh rasa ingin belajar, ingin tahu, bersabar, profesional, berhadapan dengan segala masalah, menerima kekurangan diri, dan buat apa yang perlu dibuat.
Disember 2020, sekali lagi menjadi fasilitator program besar PEPIAS yang buat pertama kalinya dibuat secara dalam talian iaitu Kursus Kepemimpinan Pelajar Islam Virtual (KKPIV). Tamat sahaja program tersebut, maka lengkaplah saya menjadi fasilitator bagi program besar PEPIAS. Antara perkara yang tersenarai untuk dicapai ketika menjadi ahli PEPIAS tetapi kelihatan gelap peluangnya apabila dilantik menjadi PSUA. Tetapi begitulah, takdir Allah lebih mendahului.
Akhirul kalam, di saat seorang manusia itu terasa berat akan segala hal yang menjadi beban kepadanya, yakinlah sentiasa ada jalan untuk meringankan bebanan itu. Oleh itu, menjadi seorang manusia yang kuat mental dan fizikal, juga rohaninya adalah perlu dalam melalui segala suka duka kehidupan. Proses menuntut ilmu yang tiada berpenghujung ini memerlukan ketabahan dan kesabaran, demi meningkatkan ketaqwaan kita sebagai hamba kepda Allah yang menciptakan. Inilah bukti kehambaan yang masih ada dalam diri kita demi meluaskan kefahaman tentang Islam.
Sekian, wassalam.

Ulasan
Catat Ulasan